- Susuk merujuk kepada "memasukkan sesuatu bahan asing ke dalam badan bagi mendapatkan sesuatu kelebihan". Ia juga merujuk kepada "pemakaian atau penggunaan bahan-bahan tertentu yang digunakan secara batin, yang juga dikenali sebagai “ilmu rahsia diri,” untuk tujuan-tujuan tertentu yang kebanyakannya lebih mengkhusus untuk keperluan diri".
- Ada orang yang menggunakan susuk supaya kelihatan cantik dan orang ramai suka memandangnya, untuk memikat seseorang, mengekal kasih seorang suami, supaya disayangi oleh majikan dan teman-teman sekerja.
- Selain untuk tujuan di atas, susuk dikatakan untuk menghindarkan diri daripada gangguan orang yang dengki, daripada sihir, digunakan untuk pelaris bagi mereka yang terlibat dengan perniagaan, yang dilakukan oleh pengusaha kedai makanan, oleh pelakon-pelakon, penyanyi-penyanyi agar diminati oleh penonton atau orang ramai, malah susuk juga ada digunakan oleh pelacur agar sering dihuni oleh pelanggan.
- Setiap susuk digunakan menurut kaedah yang digunakan oleh orang-orang tertentu yang terlibat melakukannya, yang menggunakan bahan-bahan tertentu menurut keperluan, yang selalunya disusuli dengan kaedah-kaedah khusus, juga pantang larang yang berlainan yang mesti diikuti, tidak boleh dilanggar sama sekali. Bahan susuk yang popular dan digunakan oleh kaum wanita ialah susuk daripada bahan emas, berlian atau intan. Susuk jenis ini dimasukkan di bahagian muka disertai dengan cara-cara tertentu termasuk jampi mantera.
- Ada juga susuk yang digunakan supaya badan menjadi kuat, kebal tidak lut senjata, untuk penggerun, penunduk dan lain-lain tujuan, yang ada kaitan dengan ilmu kebatinan, termasuk susuk yang digunakan untuk menguatkan tenaga batin.
- Tidak dapat dipastikan secara khusus bahawa susuk boleh menyebabkan muka seseorang itu pastinya lebih cantik, tidak makan tua, tidak berkedut, digeruni, dikasihi, menjadi kebal tidak mampan senjata atau tenaga batin menjadi kuat, tetapi apa yang jelas amalan susuk, atau yang berkaitan dengannya adalah termasuk dalam kategori amalan yang melibatkan sihir, iaitu melibatkan iblis dan syaitan, ataupun jin-jin.
- Amalan susuk adalah rahsia, yang tidak didedahkan kepada umum, untuk difahami rahsia-rahsianya. Tidak dapat diterima oleh akal, bagaimana seseorang yang dimasukkan pada mukanya, serbuk berlian, serbuk emas, jarum emas dan sebagainya, di bahagian kening, bawah dagu dan sebagainya menyebabkan muka seseorang itu dilihat begitu cantik, termimpi-mimpi waktu tidur dan berkhayal ketika hendak lelap.
- Semuanya tidak akan berlaku pada pengamatan umum. Tetapi ia boleh berlaku dengan penglibatan iblis dan syaitan, di mana dengan adanya iblis syaitan yang dipanggil menggunakan jampi mantera dan serapah dan sebagainya menyebabkan apa yang dilihat oleh manusia itu boleh berubah.
- Mata manusia boleh terpesong atau tersihir, akibat penglibatan iblis dan syaitan itu menyebabkan sesuatu yang buruk, yang normal itu kelihatan cantik, seperti yang berlaku ke atas mereka yang dimasukkan susuk.
- Itulah di antara ciri sihir di mana sesuatu yang berlaku itu sebenarnya bukan hakikat, tetapi tipu daya belaka atau “khayali,” yang tidak dapat difikir oleh akal manusia, bagaimana kejadian tersebut boleh berlaku, yang diistilahkan sebagai “khariqu `l-adah” (mencarik adat atau berlaku di luar adat kebiasaan).
- Jelasnya pandangan yang cantik, menawan, menakutkan atau menggerunkan menyebabkan orang yang memandang itu tunduk berlaku kerana adanya penglibatan iblis dan syaitan.
- Setiap perbuatan atau tindak-tanduk yang disertai atau disokong yang disertai oleh makhluk ini, ia dikategorikan dalam amalan sihir. Sihir termasuk dalam kategori amalan dosa-dosa besar yang boleh membawa syirik, satu dosa yang tidak diampuni.
- Fenomena seperti ini sama seperti yang berlaku di kalangan pemain silap mata, yang mencari nafkah di tepi-tepi jalan atau di tempat pertunjukan eksklusif. Di tepi jalan raya pemain silap mata menusukkan pisau tajam menembusi leher kanak-kanak yang dibawa bersama dengannya, yang dilihat dengan jelas oleh mata zahir.
- Tidak lama selepas itu, selepas pertunjukan itu tamat, kanak-kanak tadi kelihatan berlari-lari atau mengemas barangan yang ada padanya tanpa ada bekas luka atau darah di lehernya. Apa yang berlaku bukan hakikat, tetapi mata melihat jelas adanya tusukan pisau di leher.
- Tidak mustahil apa yang berlaku hasil daripada susuk yang dimasukkan dalam diri seseorang, di bahagian muka ketika berumur 25 tahun, biarpun mereka tidak memahami apa perlunya diperbuat demikian. Inilah yang berlaku kepada sebahagian daripada mereka yang terlibat dengan amalan kebatinan yang menggunakan atau melibatkan jin-jin.
- Penggunaan bunga-bunga pelbagai warna, bahan-bahan yang terdiri daripada jarum emas, serbuk intan berlian dan sebagainya itu hanya perantaraan semata-mata, dijadikan iktibar atau lambang, tidak lebih daripada itu.
- Betapa indahnya bunga, menawan dan disukai ramai, baik lelaki dan perempuan, maka begitulah ibaratnya pandangan manusia kepada orang yang menggunakan bahan tadi. Begitu juga dengan penggunaan bahan-bahan lain, yang terdiri daripada serbuk emas atau jarum emas, tidak lebih daripada itu.
- Faktor utama melahirkan keberkesanan atau natijah yang berlaku pada diri saudari ialah penglibatan jin-jin dalam proses memasukkan bahan susuk dalam tubuh tadi, di mana proses tersebut dikategorikan sebagai proses kebatinan.
- Bahan tadi digosok-gosokkan pada bahagian tertentu pada tubuh, lalu bahan tadi meresap hilang menyerap dalam tubuh atau muka. Selain daripada itu jampi mantera juga digunakan. Rangkaian kata ini menjadi perantaraan untuk memanggil datang makhluk-makhluk halus yang terdiri daripada jin-jin.
- Adapun amalan atau bacaan yang terdiri daripada ayat-ayat al-Quran, zikir-zikir ataupun amalan-amalan lain yang dilakukan oleh orang yang memasukkan susuk atau orang yang dimasukkan susuk hanya merupakan unsur-unsur Islam yang diselit-selitkan di celah-celah amalan kebatinan Melayu, yang sama sekali tidak memperlihatkan atau membuktikan bahawa amalan susuk itu salah satu daripada ajaran Islam.
- Walaupun demikian apa yang berlaku iaitu dengan adanya unsur-unsur Islam tadi, ia menjadi satu alasan untuk menyatakan bahawa penggunaan tersebut membuktikan amalan ini tidak bertentangan dengan ajaran Islam, salah satu daripada usaha yang dilakukan selaras dengan kehendak Islam. Demikianlah kecelaruan yang wujud dalam amalan kebatinan Melayu, apabila unsur-unsur Islam itu diselit-selitkan dalam budaya hidup manusia.
- Allah memberi amaran, seperti yang termaktub dalam al-Quran. “Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!” [Surah Yasin Ayat 60]. Dan dalam [surah al-Baqarah ayat 208] "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam dengan selengkapnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata!" . Dalam keadaan apa sekalipun, makhluk ini hendaklah dianggap sebagai musuh, tidak kira sama ada makhluk jin ini boleh menyebabkan seorang itu kelihatan cantik, muka sering berseri, disukai ramai, dipandang manis digeruni, badan menjadi kebal atau tujuan-tujuan lain, untuk kepentingan diri sendiri atau untuk ramai.
- Makhluk ini, dalam keadaan apa sekalipun hendaklah dianggap sebagai musuh. Orang yang memasukkan susuk dalam tubuh, dengan cara yang dijelaskan, adalah orang yang mengundang, memasukkan makhluk iblis dan syaitan dalam tubuh. Sayangnya manusia menjadi keliru apabila meneliti amalan zahir yang dimasukkan dalam tubuh ialah serbuk intan berlian atau jarum emas, padahal Allah memberi amaran supaya setiap orang itu menjauhkan diri daripada makhluk ini.
- Firman Allah s.w.t di dalam [surah Al-Baqarah ayat 45 & 46] Yang bermaksud : "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya".
- Kesimpulannya, tidak mudah bagi syaitan itu menguasai diri seseorang, tetapi apabila syaitan itu diundang masuk, meresap dalam diri seperti melalui amalan susuk, maka bagi syaitan itu jalan-jalan yang luas lagi mudah lalu akhirnya ia akan menyesatkan, menyakiti jasad manusia itu hasil daripada kesilapan diri manusia itu sendiri.
Video ini membuktikan bahawa amalan pemakaian susuk masih lagi berlaku pada hari ini terutama dalam masyarakat melayu. Bersama kita ambil iktibar dan pengajaran. Jauhi perkara-perkara syirik seperti ini kerana ia memberi kemudaratan kepada si pemakai. Malahan ia bertentangan dengan ajaran islam dan berdosa besar. Semoga mereka bertaubat.
betulke salah satu pantang larang susuk ni ialah tak boleh ambil gambar?
BalasPadam